Tuesday, 2 August 2011

Piala Monsun Terus Catat Keuntungan



PUTRAJAYA, 2 Ogos 2011: Pertandingan Kapal Layar Piala Monsun yang bakal memasuki edisi ketujuh di Pulau Duyung, Terengganu pada 22 hingga 27 November depan masih mencatatkan keuntungan dengan pulangan atas pelaburan (ROI) sebanyak RM834 juta pada tahun lalu.

Pulangan ROI tersebut adalah 31 kali ganda daripada jumlah pelaburan sebanyak RM27 juta pada tahun lalu berdasarkan laporan  penilaian yang disediakan oleh Brand Advantage dan Pusat Teknologi MSC Sdn.Bhd. yang telah siap membuat analisis baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, RM20 juta merupakan dana disalurkan daripada  pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) manakala bakinya pelaburan disumbangkan oleh syarikat korporat dan swasta seperti Telekom Malaysia, Fire-Fly, Ri Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Permanis Sandilands, Validram Group dan GBA Global Corporation.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek menyarankan supaya pihak penganjur iaitu T-Best Event Sdn. Bhd. berusaha mencari penaja bagi menampung kos penganjuran dan tidak bergantung selama-lamanya kepada peruntukan kerajaan.

“Syarikat korporat dan swasta mesti merebut peluang menaja Piala Monsun kerana ia amat menguntungkan dan kerajaan boleh menggunakan peruntukan sedia ada bagi menjalankan tugas besar KBS antaranya membangunkan atlit sama ada dalam sukan pelayaran mahupun bidang sukan lain,“ katanya pada sidang media selepas mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pulangan pelaburan (ROI) Piala Monsun 2010 di Putrajaya.

Tambah beliau lagi, media antarabangsa banyak memberi liputan Piala Monsun dan sudah tentu ia memberi promosi meluas kepada penaja menerusi penyiaran.
                         
Pada majlis yang sama, turut disampaikan Anugerah Acara Keseluruhan Terbaik buat tahun ketiga berturut-turut selain memenangi dua anugerah baru iaitu Anugerah Operasi Media Terbaik dan Anugerah Jawatankuasa Perlumbaan sempena penganjuran Piala Monsun tahun lalu.

Turut sama hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Tuan Gan Ping Sieu, Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Mohid Mohamed, Pengerusi Piala Monsun, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Penasihat Piala Monsun, Dato’ Peter Gilmour.

No comments:

Post a Comment