Thursday, 7 July 2011

Penjelajahan Warga OKU ke Gunung Pinnacles




SARAWAK, 7 Julai 2011: Cawangan Pembangunan Sukan Minoriti, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah menganjurkan Program Cabaran Orang Kurang Upaya (OKU) Taman Negara Mulu 2011 peringkat Kebangsaan bertempat di Taman Negara Mulu, Sarawak.

Program  lima  hari  yang bermula pada 2 hingga 6 Julai 2011 lalu  menjadi satu lagi produk di bawah Cabaran 1 Belia 1 Malaysia’serta menjadi medan untuk memperkenalkan satu lagi jenis sukan dan rekreasi yang amat mencabar fizikal dan mental kepada golongan OKU. Program cabaran ini telah disertai oleh sembilan orang dari Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, enam peserta mewakili Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia, 15 orang pegawai pengiring dan dua orang pegawai pengurus.

Sepanjang ekspedisi ini, peserta terpaksa mengharungi pelbagai halangan serta cabaran. Di antara cabaran yang dihadapi adalah berjalan di dalam hutan tebal sejauh sembilan kilometer dari Kuala Litut menuju ke Camp 5 serta pendakian ke Gunung Pinnacles sejauh 2.4 kilometer.

Pendakian ke Gunung Pinnacles tidak dapat diteruskan kerana hujan turun pada separuh pendakian. Atas faktor cuaca yang tidak mengizinkan dan juga risiko keselamatan, para peserta tidak dibenarkan untuk meneruskan pendakian gunung tersebut. Peserta kemudiannya  di bawa melawat ke gua-gua di Mulu bagi melihat keindahan semulajadi yang ada di sana. Antara gua yang dilawati adalah Gua Angin, Gua Air Jernih, Gua Lang dan Gua Rusa.

Program ini juga merupakan program pertama yang membawa Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia menjejakkan kaki ke Taman Negara Mulu. Majlis Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Minoriti selaku wakil Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Sukan, JBSN, Haji Kamarulzaman Hassan Mansor.

Beliau begitu kagum dengan melihat semangat serta kebolehan yang ditunjukkan oleh warga OKU dalam menyahut cabaran pada kali ini serta menjadikan cabaran ini sebagai satu cara membentuk jati diri dan integriti di kalangan OKU.

No comments:

Post a Comment