Friday, 29 July 2011

Meriahnya Program Rakan Muda Ramadhan



KEMAMAN, 29 Julai 2011: Setiap kali menjelang Ramadhan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak melepaskan peluang mengadakan  program bagi menyambut  bulan yang mulia ini. Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu telah dipilih sebagai lokasi untuk melaksanakan Program Rakan Muda Ramadhan 1432H/2011. Kira-kira  1,500 orang penduduk sekitar Kemaman   telah turut serta dalam program tersebut.

 Antara objektif program Rakan Muda Ramadhan ini  adalah untuk melahirkan remaja yang berpegang kepada konsep wasatiyyah dalam melahirkan pemimpin masa hadapan. Selain itu ianya juga dapat  memperkuatkan gagasan ibadah pada bulan Ramadhan dengan pendekatan realistik bagi golongan remaja khususnya.  

 Antara pengisian program  adalah Pertandingan Nasyid Remaja yang begitu mendapat sambutan. Selain itu, seramai 600 orang remaja terdiri daripada pelajar sekolah dan penduduk sekitar Kemaman terlibat dalam Program Tadarus Remaja dan Bacaan Surah Yasin yang diketuai oleh pelajar dari Institut Pengajian Islam Terengganu (INSPI).

 Program ini telah dimeriahkan lagi dengan penampilan khas Imam Muda Nazrul iaitu finalis Imam Muda Musim ke-2. Beliau mengambil peluang  ini untuk sama-sama  bersantai dan bertukar-tukar pandangan dengan para remaja yang hadir.

 Remaja yang terlibat dalam program ini adalah pelajar-pelajar sekolah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar Kemaman, pelatih-pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, sukarelawan i-volunteer serta ahli persatuan belia sekitar Kemaman.

 Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery hadir bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran program tersebut dan menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadhan  kepada keluarga-keluarga miskin di kawasan tersebut. Beliau juga sempat beramah mesra dengan  penduduk-penduduk kampung Dadong khususnya para remaja dan belia.

No comments:

Post a Comment